Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
RIMBA, Selasa, 2 Jun. – Seramai 20 peserta terpilih menyertai Program Eksekutif Muda Kohort 11 yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA) bermula hari ini hingga 29 Ogos 2026.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (PA), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr. Awang Norfarizal bin Othman, selaku tetamu kehormat majlis, berlangsung di Dewan Ittisal, IPA, di sini.
Dr. Awang Norfarizal dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa peranan penjawat awam perlu berkembang daripada sekadar melaksanakan dasar kepada menjadi pemikir strategik, pencetus inovasi, pemimpin perubahan dan penjaga amanah masyarakat serta negara.
Menurutnya, masa depan PA bukan sahaja bergantung kepada teknologi atau sistem, tetapi lebih ditentukan oleh kualiti kepimpinan yang mampu berfikir jauh ke hadapan, membuat keputusan sukar dan memimpin perubahan demi kepentingan generasi akan datang.
"Justeru, Program YEP ini adalah peluang untuk memperkukuh lagi pengetahuan, memperluas perspektif dan membina keyakinan diri sebagai pemimpin. Gunakanlah peluang ini untuk belajar daripada para fasilitator, mentor dan rakan peserta.
"Gunakanlah peluang ini untuk mencabar pemikiran sendiri. Keluar daripada zon selesa. Terokai idea baharu dan bina rangkaian profesional yang akan menjadi nara sumber kekuatan sepanjang perjalanan kerjaya nanti," ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan empat ciri utama yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin masa hadapan menerusi konsep 'HARI', iaitu berorientasikan Hasil, berfikiran Adaptif, berjiwa Rakyat dan berIntegriti, bagi memastikan kepimpinan yang berkesan serta memberi impak positif kepada organisasi dan masyarakat.
Menurutnya lagi, pemimpin yang berkesan yang berorientasikan hasil bukan sahaja mengenal pasti masalah, tetapi mampu menghasilkan jalan penyelesaian yang memberi impak positif kepada organisasi dan masyarakat.
Dr. Awang Norfarizal turut menegaskan kepentingan sifat adaptif dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas. Pemimpin yang berjaya ialah mereka yang mampu menyesuaikan diri dengan cabaran dan perubahan semasa.
Selain itu tambahnya, pemimpin perlu berjiwa rakyat dengan memastikan setiap dasar, program dan inisiatif yang dilaksanakan sentiasa berpaksikan kepada keperluan dan kesejahteraan masyarakat.
Manakala menerusi ciri integriti katanya adalah merupakan kepercayaan dan mata wang kepimpinan yang paling berharga. Tanpa integriti, tiada kepimpinan yang mampu bertahan. Tanpa integriti, kepercayaan masyarakat akan terhakis dan gundah gulana.
Beliau percaya generasi pemimpin yang mengamalkan konsep 'HARI' dalam kehidupan seharian berpotensi membentuk masa depan PA yang lebih cemerlang.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai kanan dan jemputan dari IPA selaku pengendali program, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan JPM.
Objektif program YEP adalah untuk melahirkan dan membangunkan bakal pemimpin yang berintegriti tinggi serta memiliki tingkah laku positif, seterusnya mampu mencapai hasil yang dihasratkan dan meningkatkan prestasi organisasi.
Program berkenaan juga bertujuan memperkukuh keupayaan pemimpin masa hadapan agar sentiasa bersedia memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berkembang dan berubah.
YEP merupakan salah satu program pembangunan eksekutif diterajui JPA dan merupakan program 'flagship' Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) di bawah Rangka Kerja PA yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi (Institutional Development Strategy).
CSLP bertujuan menyediakan 'leadership pool' dalam kalangan pegawai Bahagian II ke atas bagi membantu perancangan strategik sumber manusia dalam PA.